top of page
Writer's pictureSFA

Projek rintis tanam padi lima kali dua tahun bermula September

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim (BHOnline) - Jun 11, 2023





Mohamad Sabu (kanan) ketika melakukan tinjauan harga keperluan harian serta tanda harga berpatutan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR


KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memulakan projek rintis penanaman padi lima kali dalam dua tahun membabitkan keluasan 30,000 hektar mulai September ini.


Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata untuk permulaan, pihaknya memberi tumpuan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terlebih dahulu sebelum diperluas ke kawasan lain.


"Keluasan kawasan MADA adalah 100,000 hektar, namun untuk projek lima musim ini kita mulakan di tanah seluas 30,000 hektar terlebih dahulu.


"Kita akan pastikan sistem pengairan ditambah baik supaya dapat membekalkan air sepanjang masa. Kita juga percaya dengan teknologi baharu dan benih padi yang pelbagai dan sudah diuji itu mampu meningkatkan lagi hasil padi.


"Jika dilihat hasil padi paling tinggi di Malaysia adalah di Sekinchan di mana mereka memperoleh tujuh hingga 12 tan padi bagi setiap hektar.


"Untuk MADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pula hanya memperoleh sekitar lima tan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung. Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.


Terdahulu, media melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan meningkatkan pengeluaran padi melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun, selain bersetuju dengan pelaksanaan sistem ternakan tertutup bagi pengurusan ladang produktif dan selamat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan dua perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN), kelmarin.


Katanya, antara perkara dibincangkan adalah berkenaan cadangan untuk meningkatkan produktiviti penanaman padi melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun dan kerajaan akan menilai kaedah pelaksanaan bagi memastikan cadangan dapat direalisasikan dengan segera.


Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya apa yang dilakukan itu menyaksikan hasil padi bertambah, pihaknya akan memperluas ke kawasan lain termasuk KADA.


"Saya yakin dengan teknologi baharu, kita buat dengan skala yang lebih besar dan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun, kita mampu mencapai Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran padi.


"Kita mungkin hanya mengimport beras yang mahal sahaja. Untuk mencapai ke arah itu, kita mahu petani bersedia untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan padi ke skala yang lebih besar," katanya.

1 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page